Tuesday, 25 March 2014

PESAWAT MH370 BERAKHIR DI LAUTAN HINDI....AL FATIHAH

Assalamualaikum....salam sejahtera dan kesyahduan buat warga Malaysia semoga keluarga penumpang MH370 redha dengan ketentuan Illahi. Peringatan dan pengajaran buat kita juga sebenarnya bahawasanya tiada kuasa yang lebih hebat berbanding Allah s.w.t.

“Dan sesungguhnya Kami akan memberikan dugaan kepada kalian, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa (nyawa) dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu mereka yang apabila ditimpakan dengan musibah, mereka mengucapkan;
“Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada-Nya jua kita kembali.” [Al-Baqarah: 155-156]


Selamat bercuti juga diucapkan kepada warga SMAR semoga anda menggunakan waktu cuti ini dengan sebaik-baiknya....Sambil itu, boleh klik ruangan 'Bilik Kaunseling' untuk perkembangan ubahsuai bilik tersebut.

Tuesday, 18 March 2014

JANGAN MENGELUH DALAM MENUNTUT ILMU

“Jangan mengeluh dalam menuntut ilmu, kerana dengan mencari ilmu juga merupakan tanda syukur kita atas kurniaan AKAL oleh Allah s.w.t. Manfaatkan ilmu, dengan beramal. Insyallah, selamat dunia dan akhirat..

 Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Siapa saja yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memberikan kepadanya kemudahan jalan menuju syurga.” [Sahih, At-Tirmidzi:2646]” :)

Sunday, 16 March 2014

GOTONG-ROYONG SIRI 2 (SABTU/15 MAC 2014)

Assalamualaikum...salam ahad. Alhamdulillah hujan rahmat telah turun di beberapa tempat di seluruh malaysia termasuklah di Rompin. Moga hujan terus turun agar ia dapat menurunkan suhu bumi sekaligus mengurangkan kesan jerebu. Disini juga ingin dikongsi beberapa gambar hasil gotong-royong ajk BBK sabtu lalu.

AJK SEDANG SIBUK MENGHIAS PAPAN KENYATAAN

AKTIVITI TAMPAL MENAMPAL SEDANG BERJALAN

TEMAN SETIA YANG SELALU ADA DISISI MENEMANI HEEE

PAPAN KENYATAAN YANG HAMPIR SIAP

Wednesday, 12 March 2014

Teknik Mengulang Kaji Pelajaran

Pengertian Mengulang Kaji
Mengulang kaji adalah suatu proses mempelajari atau menyemak semula dengan tujuan memahami dan mengingat semua maklumat serta fakta dari nota-nota ringkas bahan-bahan pelajaran yang telah anda pelajari sebelum ini. Ia bukannya bertujuan mendapatkan maklumat-maklumat baru.

CARA-CARA Mengulang Kaji
Antara perkara-perkara yang anda harus lakukan dalam proses Mengulang kaji adalah:
  1. Membaca dan menyemak nota-nota bahan-bahan pelajaran sambil melengkapkan yang kurang. Ini akan memantapkan kefahaman dan ingatan anda terhadap subjek berkenaan.
  2. Membaca buku teks. Tujuannya untuk memastikan anda benar-benar faham setiap prinsip, isu dan fakta yang dimuatkan.
  3. Menjawab soalan-soalan latihan atau kerja rumah yang guru berikan. Ini akan membolehkan anda menguji kebolehan anda menjawab soalan yang sama dalam peperiksaan.
  4. Mengkaji contoh-contoh jawapan peperiksaan tahun lepas bersama skima jawapan. Ini akan membolehkan anda membiasakan diri menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan lebih yakin dan pantas.
  5. Menjawab soalan-soalan yang  berbentuk objektif. Ini akan membolehkan mengetahui soalan-soalan yang anda sudah tahu menjawabnya dan soalan-soalan yang mengelirukan agar semasa peperiksaan jika soalan yang sama keluar, anda akan dapat menjawab dengan yakin.
  6. Bersoal jawab bersama-sama rakan. Selain ini membolehkan anda mengenalpasti sama ada anda sudah cukup bersedia atau tidak menghadapi peperiksaan, pada masa yang sama, anda juga boleh mendapat penjelasan tentang bahagian-bahagian yang anda kurang faham dari rakan anda yang mungkin sudah menguasai bahan pelajaran itu.
Tempoh Mengulang Kaji (Pecutan Akhir) 
Adalah mustahil untuk menyatakan dengan tepat jumlah masa yang perlu diperuntukkan untuk Mengulang kaji kerana kemampuan seseorang itu berbeza.

Ada pakar yang mengatakan bahawa masa Mengulang kaji perlu dilakukan selama 3 bulan. Ada pula yang berpendapat selepas peperiksaan percubaan kerana anda telah menamatkan tempoh belajar bagi menghadapi peperiksaan percubaan. Yang lain pula mengatakan selama 3 minggu. Ada juga yang berpendapat Mengulang kaji secara ringkas setiap minggu akan menambahkan keyakinan seseorang itu menghadapi peperiksaan.

Tetapi, sebagai panduan, 6 hingga 8 minggu di saat terakhir peperiksaan merupakan tempoh yang baik untuk memulakan proses Mengulang kaji.

Namun, bagi pelajar yang lemah hendaklah proses Mengulang kaji pecutan akhir ini dibuat lebih awal daripada yang disarankan di atas.
Anda mungkin perlu membuat ulang kaji beberapa kali sehinggalah anda benar-benar dapat menguasai setiap mata pelajaran anda. 

Monday, 10 March 2014

JEREBU DI ROMPIN SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

Salam isnin, Alhamdulillah sebelum itu tahniah kepada unit BBK kerana berjaya melaksanakan aktiviti gotong-royong bilik kaunseling dengan jayanya. Gambar bilik kaunseling yang telah siap di cat boleh dilihat di ruangan 'BILIK KAUNSELING'.

Di bawah ini disertakan gambar keadaan jerebu yang semakin membimbangkan di daerah Rompin yang dikongsi bersama oleh Cikgu Foziah. Semoga warga SMAR sama-sama menjaga kesihatan masing-masing. Kurangkan aktiviti luar dan sentiasa memakai topeng muka. Jagalah kesihatan anda terutama kepada yang berpenyakit.

Jerebu di kawasan sekolah


Semoga berjaya juga diucapkan kepada pelajar yang sedang menduduki Ujian Penilaian Tahap 1 yang bermula hari ini.

Sunday, 9 March 2014



Hubungan Islam Dengan Sains Dan Teknologi

Written by : Firdaus

Hubungan antara Islam dengan sains dan teknologi adalah ibarat isi dan kuku, tidak dapat dipisahkan kerana sama-sama mempunyai peranan dan sumbangan yang penting dalam membina tamadun manusia. Sains dan teknologi membawa kemajuan, kemudahan dan keselesaan, manakala Islam pula memimpin manusia ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat.

Sains wujud daripada perasaan ingin tahu manusia terhadap alam sekelilingnya dan merupakan salah satu cabang utama ilmu pengetahuan yang dapat digunakan untuk meningkatkan keimanan. Sungguhpun Islam telah memberikan garis kasar terhadap kaedah dan jawapan kepada banyak persoalan sains, namun ianya masih memerlukan pengkajian yang mendalam untuk membuktikan kebenarannya. Atas sebab inilah maka Islam sangat menuntut umatnya mencari, mengembang dan menguasai ilmu pengetahaun.

PENCAPAIAN DAN REALITI
Sejarah telah membuktikan bahawa suatu masa dahulu, umat Islam adalah umat yang sangat dihormati kerana ilmu pengetahuan yang mereka miliki. Nama-nama seperti Ibn Sina, Ibn Rush, Al Khawarizmi, Al Biruni adalah di antara tokoh-tokoh yang tidak asing lagi samada di dunia Timur ataupun Barat. Penghormatan yang diterima ini adalah melalui pencapaian mereka di bidang sains dan teknologi serta pegangan yang kukuh terhadap Al Quran dan Hadis.

Sungguhpun umat Islam telah menunjukkan kehebatan yang tiada tandingnya pada masa lampau, tetapi kini suasana yang wujud adalah jauh berbeza. Umat Islam sekarang tidak lagi menguasai bidang sains dan teknologi, sebaliknya ilmu tersebut telah berpindah dan dikuasai oleh masyarakat Barat dan Timur Jauh. Apa yang lebih malang lagi ialah bilamana umat Islam itu sendiri sudah hilang identiti Islamnya dan tidak lagi dihormati.

ANUGERAH AKAL
Islam yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada baginda junjungan nabi Muhammad s.a.w. adalah lengkap dan sempurna serta sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Sementara kejadian manusia yang serba indah ini pula dihiasi dengan anugerah akal oleh Allah kepada manusia untuk berfikir.

Oleh itu peranan akal yang telah dianugerahkan ini sangatlah besar. Ianya bukan sahaja dapat digunakan untuk kepentingan mencari ilmu tetapi juga untuk "melihat" kebenaran. Dengan sebab itulah Islam sangat menggalakkan umatnya untuk menggunakan akal demi untuk mencari kebenaran. Di dalam Al Quran banyak ayat-ayat yang diakhiri dengan Allah bertanya kepada manusia seperti, "Tidakkah kamu menggunakan akal" dan "Tidakkah kamu memikirkan".

SAINS DAN TEKNOLOGI
Islam telah menetapkan bahawa setiap perkara itu adalah tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Al Quran dan Sunnah Nabinya, dan tidak terkecuali juga ilmu sains dan teknologi. Oleh itu ilmu sains dan teknologi yang diterima oleh Islam adalah ilmu yang dipimpin dan disuluh oleh Nur Ilahi, kerana hanya dengan itu ilmu tersebut tidak akan bersifat menindas dan menganiaya makhluk lain.

Sebenarnya, di dalam Al Quran itu sendiri sudah terkandung ilmu sains dan teknologi yang hanya menunggu untuk dikaji dan dikembangkan oleh mereka yang memahami dan mengamalkannya. Setiap ayat yang terkandung di dalamnya mempunyai maksud dan makna yang tertentu yang perlu digali, diteliti dan direnungi, sebab Al Quran adalah sumber ilmu pengetahuan yang terbesar dan terpenting. Jika tidak mutiara Al Quran itu tidak akan menyerlah dan memancarkan cahayanya untuk menyinari kehidupan umat manusia.

Berdasarkan kepada hakikat inilah maka umat Islam perlu mengambil manfaat daripadanya dengan menggunakan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah untuk menjalankan pengkajian yang bersifat empirikal dan saintifik. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, maka tidak syak lagi zaman kegemilangan Islam dapat dikembalikan dan Islam sekali akan menjadi sumber inspirasi kepada kemajuan tamadun dan kekuatan ummah.

KEPENTINGAN ISLAM
Ilmu sains dan teknologi tanpa Islam adalah seperti sebilah pedang di tangan seorang yang mabuk, atau cahaya api di tangan seorang pencuri yang memungkin dia mencuri barang-barang yang terbaik. Atas sebab inilah pemisahan antara Islam dengan sains dan teknologi hanya akan membawa kepada kemusnahan kerana mereka yang menguasai ilmu tanpa pimpinan agama akan dipimpin oleh nafsu haloba.

Oleh itu peranan agama adalah sangat penting dalam memastikan segala ilmu termasuk sains dan teknologi tidak disalahgunakan untuk kepentingan individu ataupun golongan tertentu. Senario dunia masakini juga seolah-olah menuntut umat Islam untuk kembali untuk menguasai ilmu sains dan teknologi sebagai saluran untuk mencapai kemajuan dan pemodenan.

PERANAN UMAT
Sebagai umat Islam yang bijak, agama itu tidak seharusnya dilihat hanya sebagai ibadat ditikar sembahyang sahaja, tetapi ianya perlu dilihat dari perpektif yang lebih luas dan menyeluruh. Hubungan manusia bukan hanya terhad dengan Allah sahaja tetapi juga dengan manusia yang lain dan alam sekelilingnya.

Oleh itu, tanggungjawab-tanggungjawab ini perlulah disempurnakan dengan sebaik-baiknya, kerana Islam bukanlah hanya sekadar slogan untuk dilaungkan tetapi menuntut supaya dilaksanakan. Agama tanpa sokongan sains dan teknologi akan mudah pincang dan meletakkan umatnya dalam keadaan serba lemah dan kekurangan. Oleh itu umat Islam perlulah menjadikan dirinya seorang Muslim yang berilmu dan bertaqwa.

Gabungan ilmu, iman dan taqwa serta akhlak yang mulia adalah faktor yang utama untuk memungkinkan Islam kembali diterima sebagai agama yang universal dan progresif.

Program Gotong-royong Ahli Unit Bimbingan Dan Kaunseling SMA Rompin

 
Mengeluarkan barang-barang bagi kerja membersih.

 
Kerja menampal bagi tujuan mengecat.











 
Bekerjasama mengecat bilik kaunseling huhuhu. 

















 
Memasang tikar getah yang baru....





 
Hasilnya .....!!! Hohohoh...cantik x ?








Alhamdulillah.........bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan rahmatnya akhirnya kami Ahli Unit Bimbingan Dan Kaunseling berjaya melaksanakan program gotong-royong dengan jayanya.Teruskan berusaha semua hingga ke akhirnya !!!! 


Saturday, 8 March 2014

5 Wasiat Imam As-Syafie


1.Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat.

2.Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut dunia.

3.Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun.

4.Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Bala dan musibah menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, bersyukurlah kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.

5.Apabila salah seorang antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, kamu perlu ringankan langkah menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dicintai Allah.

Friday, 7 March 2014

CARA MEMAKAI TOPENG MUKA YANG BETUL

SALAM...Unit BBK Sma Rompin menasihatkan para pelajar untuk menjaga kesihatan sepanjang musim jerebu ini. Jangan berada di luar dan mendedahkan diri pelajar dengan jerebu. Keadaan matahari yang panas terik pada waktu petang pula boleh menyebabkan 'Heat Stroke' sekiranya kite terdedah terlalu lama. Disini unit BBK ingin berkongsi cara yang betul memakai topeng telinga:

1. Gambar menunjukkan topeng muka 3 lapisan yang ada di pasaran. Basuh tangan sebelum memakai. Jangan sentuh permukaan topeng muka untuk mengelakkan pencemaran.

2. Kenalpasti bahagian atas dan bawah, dalam dan luar. Tetulang besi ialah bahagian atas. Arah lipatan mengarah ke bawah ialah bahagian luar.



3. Letak penyangkut topeng muka dengan kemas di belakang telinga (jika jenis tali ikat dengan kemas belakang kepala).

4. Tetulang besi hendaklah ditekan mengikut bentuk hidung dan muka.

5. Kemaskan topeng pada pada bahagian pipi.

6. Topeng muka mesti menutupi kawasan hidung, mulut dan dagu. Bernafaslah seperti biasa.

7. Jangan menyentuh bahagian tengah topeng apabila menanggalkannya kerana bahagian ini berkemungkinan mengandungi kuman. Pegang pada penyangkut/tali.

8. Buang topeng muka yang telah digunakan dengan bahagian tengah topeng dilipat ke dalam atau bungkus dalam beg plastik sebelum dibuang dalam tong sampah.

9. Basuh tangan.

Penukaran Topeng

Dalam keadaan di bawah, penukaran topeng penutup mulut adalah sangat disarankan :

* Selepas bersin atau batuk.

* Berada dalam kedudukan 3 kaki dengan orang yang bersin atau batuk yang tidak memakai topeng penutup mulut.

* Bila-bila masa yang dirasakan perlu terutama setelah yakin ia telah tercemar.

* Apabila topeng rosak, basah atau berhabuk.